THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Friday, August 19, 2011

21 OGOS:HARI QUDS SEDUNIA

Peristiwa Bersejarah Pada 21 Ogos 1969 di mana seorang bangsa Yahudi warga Australia, Denis Rohan, telah mengambil tindakan membakar Masjid al-Aqsa. (Sempena Sambutan Hari Al-Quds Sedunia Pada 21 Ogos 2006 Bersamaan 27 Rejab 1427H.

21 Ogos 1969: Peristiwa Pembakaran Masjid Al-Aqsa oleh Zionis


Tanggal 21 Ogos setiap tahun merupakan tarikh memperingati peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa. Pembakaran tersebut berlaku di waktu subuh pada 21 Ogos 1969 selepas muslimin menunaikan solat subuh dan meninggalkan masjid. Dikesempatan itulah, pihak Yahudi memulakan perancangan mereka dengan membakar Masjid Al-Aqsa. Api marak dengan cepatnya dan terus membakar peralatan masjid dan dindingnya apatah lagi pada waktu tersebut muslimin telah meninggalkan masjid untuk meneruskan rutin harian mereka. Namun begitu, usaha memadamkan api yang terus marak telah dilakukan oleh pemuda-pemuda Islam dengan mengambil air dari telaga-telaga yang berada di kawasan lapang Masjid Al-Aqsa, memindahkan karpet dan tikar keluar dari masjid dan menghimpunkan cebisan-cebisan kecil Mimbar Solahuddin yang terbakar dan kini ia di simpan di Muzium Islam di Masjid Al-Aqsa
Pada asalnya, rejim Zionis telah merancang untuk membakar Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1968. Seorang Yahudi dari Australia bernama Denis Michael Rohan telah ditugaskan untuk melaksanakan rancangan tersebut tetapi ia dapat dikesan oleh pihak Masjid Al-Aqsa dan Rohan ditangkap serta dihantar ke Australia. Namun begitu, Rohan dibenarkan datang kembali ke Palestin oleh pemerintah Israel pada tahun berikutnya dan berjaya membakar Masjid al-Aqsa dengan bantuan pihak Yahudi pada 21 Ogos 1969.
Kebakaran tersebut berjaya dilakukan dan tiga kawasan utama Masjid Al-Aqsa telah terbakar iaitu:
  • Masjid Umar yang terletak di penjuru sebelah selatan Masjid al-Aqsa. Ia adalah masjid terawal dibina oleh Khalifah Umar al-Khattab semasa membuka Al-Quds pada tahun 15 Hijrah bersamaan 636.
  • Mimbar Solahuddin Al-Ayyubi dan mihrabnya. Ia dibakar untuk menghapuskan tanda pembukaan Al-Quds yang telah dilakukan oleh Solahuddin Al-Ayyubi pada tahun 583H bersamaan dengan 1187. Mimbar tersebut dibina oleh Solahuddin Al-Ayyubi dan membaca khutbah di atasnya semasa membuka al-Quds.
  • Pintu atas yang terletak di penjuru sebelah baratdaya Masjid al-Aqsa yang ukuran tingginya ialah 10 meter dan susah untuk dinaiki dari dalam masjid tanpa menggunakan tangga yang tinggi. Oleh itu, pintu ini dibakar dari luar masjid dan terdapat individu lain yang mambantu Dennis melaksanakannya dengan bantuan zionis yang telah menguasai pintu besar sebelah barat Al-Quds.


Kesan pembakaran tersebut mengakibatkan terbakarnya mimbar Salahuddin, Masjid Umar, Mihrab Zakaria, Maqam Arbaein, 48 tingkap masjid musnah, dua tiang utama masjid tumbang, kesan-kesan sejarah, karpet, perhiasan ayat Quran dan selainnya terbakar. Dianggarkan Lebih dari 1/4 (seperempat) Masjid Al-Aqsa musnah terbakar.

Rejim Zionis sengaja membiarkan pembakaran ini bahkan pemerintah Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Rohan dan membebaskannya tanpa mengenakan apa-apa tindakan dan hukuman dengan alasan dan hujjah bahawa Rohan seorang yang tidak siuman dan ‘gila’ walaupun dari segi profesionnya beliau merupakan seorang doktor perubatan.

Pembakaran Masjid al-Aqsa sebenarnya adalah hasil dari dendam Yahudi terhadap Islam dan ia merupakan satu isu agama. Selepas pembakaran tersebut, Denis Michael Rohan mendakwa dia diutuskan oleh Allah untuk melakukan pembakaran itu sesuai dengan tuntutan Kitab Zakaria. Ia adalah satu kewajipan agama Yahudi yang mesti dilaksanakannya. Oleh itu, pembakaran ini merupakan sesi perancangan yang berterusan yang dilakukan oleh Yahudi bagi membina kembali Haikal Sulaiman.

Pembakaran Masjid al-Aqsa pada tanggal 21 Ogos 1969 telah mendorong negara-negara Islam menubuhkan OIC yang dianggotai 57 negara sebagai langkah menjadikan isu Palestin dan masjid al-Aqsa sebagai isu utama umat Islam sedunia. Semenjak hari itu jugalah, 21 Ogos dianggap sebagai Hari Al-Quds sedunia.


27 Rejab 583 hijrah: Pembebasan Al-Quds oleh Salahuddin Al-Ayyubi

Bumi Al-Quds telah dibebaskan pada hari Jumaat 27 Rejab 583H bersamaan dengan 2 Oktober 1187 selepas 88 tahun di bawah jajahan tentera Salib. Pembebasan ini dilakukan oleh pihak muslimin di bawah kepimpinan Salahuddin al-Ayyubi, seorang pemimpin yang kuat berpegang pada agamanya, berperibadi mulia dan seorang yang beramal soleh.

Pembebasan bumi Al-Quds ini tercapai setelah tentera Islam bejaya mengalahkan tentera Salib Kristian dalam peperangan Hittin di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Jumlah tentera Islam ialah 12,000 orang sementara tentera salib 50,000 orang dipimpin oleh Guy of Lusignan dan Raymond III of Tripoli. Jumlah tentera Islam dalam pembebasan Baitul Maqdis pula tidak sampai 12,000 orang sementara pihak tentera salib 60,000 orang.

Peperangan ini dinamakan peperangan Hittin kerana ia berlaku di Kampung Hittin, di kaki Bukit Hittin, yang terletak di antara Tiberias dan An-Nasirah. Akhirnya tentera Salib telah tewas. Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat ditawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan, dalam peperangan ini dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini.

 

Dalam tempoh dua bulan selepas Salahuddin mencapai kemenangan di Hittin, tentera Islam di bawah kepimpinan Salahuddin mengambil keputusan untuk memasuki bandar dan ibukota Al-Quds. Sebanyak lima puluh buah bandar dan perkampungan yang pernah berada di bawah penjajahan tentera Salib telah berjaya dimerdekakan dalam tempoh yang terlalu singkat. Namun begitu, objektif sebenar yang dijanjikan oleh Salahuddin Al-Ayyubi kepada umat Islam ialah untuk membebaskan Al-Quds (Baitul Maqdis) dari kongkongan musuh-musuh Islam.

Untuk tujuan tersebut Salahuddin meneruskan perjalanannya bersama dengan angkatan tentera ke arah Al-Quds (Baitul Maqdis) dan berjaya mengepungnya selama seminggu sehinggalah pasukan tentera pertahanan kota menyerah diri menyebabkan Salahuddin berjaya memasukinya pada hari Jumaat bersamaan 27 Rejab 583H.

Sebaik sahaja tentera Islam berjaya memasuki Al-Quds, Salahuddin Al-Ayyubi mengambil tindakan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Saiyidina Umar bin Al-Khattab (r.a) semasa kali pertama beliau berjaya memasuki Al-Quds. Beliau membuat perjanjian dengan semua masyarakat yang tinggal di sana seperti penganut agama Kristian supaya menjaga kehidupan mereka, kehormatan mereka dan hartabenda mereka.

Oleh: Aman Palestin.

0 comments: